Saturday, January 3, 2009

Bioteknologi

Bioteknologi merupakan salah satu daripada teknologi yang diberi penekanan dalam pembangunan negara pada masa kini. Kemajuan dalam kejuruteraan genetik telah mencetus perkembangan bioteknologi di negara-negara maju termasuklah di Malaysia.

Apakah itu bioteknologi? Sebelum saya mengambil keputusan untuk memilih bioteknologi sebagai pengkhususan, saya juga tertanya-tanya tentang bioteknologi.
Bioteknologi adalah bidang yang berkaitan dengan kegunaan mikrob, sel haiwan atau tumbuh-tumbuhan atau enzim untuk mensintesis, memecah atau mentransformadikan bahan. Untuk itu, ianya memerlukan integrasi biokimia, biologi, mikrobiologi, kejuruteraan kimia dan kejuruteraan proses. Dengan kata lain, bioteknologi adalah penggunaan organisma hidup, komponen dan hasilannya untuk meningkatkan kualiti kesihatan dan persekitaran manusia.

Bioteknologi kini dianggap sebagai julat teknologi serba boleh yang dapat diterapkan dalam pelbagai sektor industri. Antara disiplin semula jadi dalam bioteknologi ialah genetik biokimia, kimia, sains pemakanan, kejuruteraan teknologi makanan, kejuruteraan manakan, kejuruteraan kimia, kejuruteraan biokimia, elektronik dan mikrobiologi.

Sebenarnya, bidang bioteknologi bukanlah suatu perkara yang baru. Walaupun hanya sekarang ianya disebut-sebut namun ia telah terbentuk sejak beribu-ribu tahun dahulu dan teknologi ini semakin dimajukan mengikut perkembangan semasa.


Untuk pengetahuan rakan-rakan, aktiviti-aktiviti tradisional dalam pembuatan roti, wain, keju juga melibatkan bioteknologi. Malah penghasilan makanan tempatan yang kita selalu makan dari zaman dahulu seperti kicap dan tempe juga melibatkan bioteknologi.


Bidang ini semakin diberi perhatian serta dimajukan melalui penelitian dan analisis saintifik yang rapi. Bidang bioteknologi kini terlibat dalam bidang kejuruteraan genetik, enzim, makanan dan minuman, perubatan, pertanian, perhutanan dan persekitaran manusia.
Misalnya dalam bidang kesihatan, bioteknologi digunakan untuk menghasilkan antibiotik, hormon dan vaksin. Kegunaan bioteknologi dalam bidang pertanian termasuk pengawalan serangan menggunakan mikrob, pembiakan genetik tumbuhan dan pembentukan haiwan untuk meningkat tumbesaran.
Bidang industri makanan dan minuman atau pengeluaran bahan bakar dan kimia pula melalui proses teknologi fermentasi. Sementara bioteknologi alam sekitar melibatkan sistem rawatan dan biodegradasi bahan kimia toksik.
Bersesuaian dengan kedudukan Malaysia dalam kawasan Tropika yang kaya dengan sumber asli yang bernilai, cara terbaik untuk memanfaatkan sumber ini ialah dengan menggunakan bioteknologi.
Memandangkan bidang ini semakin penting dan mendapat perhatian banyak pihak, kerjaya ini mempunyai potensi yang cukup baik. Lulusan di bidang ini boleh berkhidmat sama ada di sektor kerajaan atau swasta terutama bagi mereka yang bergiat cergas dalam penyelidikan dan industri berasaskan bioteknologi. Graduan dalam bidang ini boleh berkhidmat di bidang kesihatan, perubatan, pertanian, makanan dan minuman, alam sekitar dan persekitaran manusia yang berkaitan bioteknologi.

2 comments:

  1. cukup 350 patah perkataan ko ni? hehe cayo la pis

    ReplyDelete
  2. aii..dop kiro tuh..cukup bekali..bulih A doh tuh..heheh..

    ReplyDelete